Penaja

About

   Merupakan graduan dari Universiti Putra Malaysia dalam bidang Pendidikan. Bacelor Pendidikan (PBMP) Pengkhususan dalam bidang Bahasa Melayu. Memulakan tugas pada 2007 sebagai Guru Bahasa Melayu.  Gemar menulis dan menjadikan blog sebagai medium untuk menyalurkan pendapat. Sangat gemarkan perkongsian ilmu. Suka bereksperimentasi dengan isu semasa. Namun, pendapat penulis tidak memihak kepada sesiapa kerana penulis lebih bersifat neutral. 

Blog ini khusus untuk membincangkan kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan yang dapat membantu dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya mata pelajaran Bahasa Melayu. Ia tidak semata-mata membincangkan  soalan-soalan Bahasa Melayu sahaja tetapi ia juga membincangkan lebih terperinci aktiviti-aktiviti pembelajaran yang telah saya aplikasikan  kepada pelajar-pelajar saya yang amat membantu guru-guru terutama sekali guru-guru novis yang baru memulakan tugas.

Sejujurnya saya mengakui, sewaktu mula bertugas, saya berhadapan dengan masalah untuk mengajar kerana ketika itu pengetahuan saya tentang kaedah dan teknik mengajar masih terlalu cetek. Saya sering tercari-cari kaedah yang sesuai  untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. Namun gagal kerana teori-teori yang saya pelajari sewaktu di universiti dahulu tidak membantu. Ia hanyalah naskah  kaku tanpa jiwa. Agak keterlaluan tetapi itulah realitinya yang sering memeningkan kepala saya. Teori-teori pengajaran dan  pembeljaran itu gagal menghubungkan saya dengan pelajar-pelajar saya. Mereka saya semakin jauh malah tidak keterlaluan jika saya katakan mereka  langsung tidak meminati subjek Bahasa Melayu. Saya sedar ini dosa yang akan menghantui saya kerana jika mereka gagal Bahasa Melayu sudah pasti  mereka juga gagal dalam peperiksaan SPM. 

Saya teruskan juga perjuangan mendidik anak bangsa  meskipun saya sendiri tidak pasti hala tuju  kerjaya saya. Kebanyakan proses pengajaran dan pembelajaran saya adalah berdasarkan konsep 'Cubajaya'. Alhamdulillah ada yang berjaya. Namun, ada juga yang tidak mendapat hasil yang saya inginkan. Selama beberapa tahun saya terus mengajar, bertanya itu dan ini demi pelajar-pelajar saya sehinggalah ke hari ini saya menarik nafas lega kerana pelajar-pelajar sudah mahu berada di dalam  kelas dan belajar. Lebih menyentuh hati saya mereka sudah mula meminati mata pelajaran Bahasa Melayu yang dilabel mereka sangat membosankan. 

    Pengalaman inilah yang ingin saya kongsikan dengan anda semua. Namun, saya masih lagi belajar kerana masih banyak lagi yang saya tidak arif.  Justeru, saya mewujudkan blog ini untuk berkongsi ilmu dari anda demi anak-anak didik kita. Semoga ilmu yang kita curahkan akan  memberi manfaat dalam kehidupan mereka. Diharapkan  blog ini akan menjadi medium yang akan menyatukan kita semua guru dan pelajar bagaikan satu keluarga. 

Saya amat mengharapkan cadangan dan pendapat dari anda semua. Wassalam.